Ibu bapa Orang Asli khuatir kanak-kanak hilang mangsa penjual organ

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2015/10/03/ibu-bapa-orang-asli-khuatir-kanak-kanak-hilang-mangsa-penjual-organ/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Dalam siri pertama daripada dua bahagian mengenai 7 pelajar Orang Asli yang hilang tanpa dapat dikesan dalam hutan di Gua Musang, Kelantan lebih sebulan lalu, ahli keluarga memberitahu The Malaysian Insider tentang ketakutan dan kekecewaan tetapi pada masa sama menaruh harapan dapat bersatu semula dengan anak-anak mereka.

Kanak-kanak Orang Asli yang belajar di Sekolah Kebangsaan Tohoi di Gua Musang, Kelantan, berdiri hadapan hostel mereka pada 29 September, 2015. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 3 Oktober, 2015.

Kanak-kanak Orang Asli yang belajar di Sekolah Kebangsaan Tohoi di Gua Musang, Kelantan, berdiri hadapan hostel mereka pada 29 September, 2015. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 3 Oktober, 2015.

Lebih sebulan selepas 7 kanak-kanak Orang Asli hilang daripada asrama sekolah di Pos Tohoi di Gua Musang, Kelantan, ahli keluarga yang semakin tertekan kini percaya mereka diculik penjual organ haram.

Mereka juga perlahan-lahan kehilangan harapan untuk melihat kembali anak-anak mereka, kerana operasi mencari dan menyelamat melibatkan beratus-ratus penjejak, lebih kurang 80 kilometer persegi hutan simpan Balah sekitar kawasan itu, menemui jalan buntu.

“Saya rasa kanak-kanak itu diculik. Tidak pernah kejadian sebegini terjadi. Malah, tiada langsung kesan tapak kaki,” kata Midah Angah, ibu kepada Norieen Yaacob, 10 dan Haikal, 8, antara 7 yang hilang pada 23 Ogos.

Kekecewaan semakin semakin menggunung dengan ibu bapa semakin putus harapan dan mendakwa pihak berkuasa tidak menguruskan kes dengan serius serta yakin ini kerana mereka “hanya anak-anak Orang Asli”.

“Saya masih mempunyai harapan tetapi semakin pudar. Saya hanya berharap pihak berkuasa mula mencari di bandar-bandar berdekatan. Mereka masih belum berbuat demikian,” kat Midah, seorang ibu tunggal kepada The Malaysian Insider dalam satu temubual di rumah saudaranya di Pos Tohoi, terletak kira-kira 300 meter dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, di mana anak-anaknya kali terakhir dilihat.

Ibu kepada 2 kanak-kanak hilang dari Sekolah Kebangsaan Tohoi, Midah Angah, tidak membenarkan 2 lagi anaknya untuk kembali bersekolah akibat trauma kehilangan tersebut. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 3 Oktober, 2015.

Ibu kepada 2 kanak-kanak hilang dari Sekolah Kebangsaan Tohoi, Midah Angah, tidak membenarkan 2 lagi anaknya untuk kembali bersekolah akibat trauma kehilangan tersebut. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 3 Oktober, 2015.

Ibu berusia 40 tahun kepada 7 anak itu berkata, Norieen dan Haikal – anak paling muda – baru sahaja bersekolah pada 2014 dan awal tahun ini.

“Norieen mula pergi ke sekolah tahun lepas. Dan kerana kampung kami di kawasan pedalaman, kami terpaksa meninggalkan mereka di asrama. Saya tidak membenarkannya ke sekolah lebih awal kerana khuatir sesuatu seperti ini akan berlaku.

“Nampaknya, itulah yang terjadi,” katanya dengan air mata yang bergenang.

Trauma dengan kejadian itu, Midah tidak membenarkan 2 lagi anak-anaknya yang sedang belajar di sekolah sama, kembali ke sekolah.

“Saya tidak benarkan 2 anak yang lain ke sekolah kerana saya masih trauma. Dua daripada anak-anak saya hilang dari asrama, di bawah jagaan guru-guru,” katanya.

Noreein, Haikal dan 5 yang lain – Mirsudiar Aluj, 11; Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Linda Rosli, 8, dan Juvina Daud, 7 – dilaporkan hilang pada 23 Ogos dari asrama sekolah mereka.

Haikal merupakan satu-satunya lelaki dalam kumpulan berkenaan.

 Jalan utama menuju ke Sekolah Kebangsaan Tohoi hanya boleh digunakan dengan memandu kenderaan 4x4. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 3 Oktober, 2015.

Jalan utama menuju ke Sekolah Kebangsaan Tohoi hanya boleh digunakan dengan memandu kenderaan 4×4. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 3 Oktober, 2015.

Mereka dipercayai lari ke hutan sekitar sekolah selepas diberi amaran hukuman daripada guru kerana berenang di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

“Kanak-kanak itu melarikan diri disebabkan guru-guru itu,” kata Midah, sambil menambah anak-anaknya sebelum ini pernah berjalan kaki dari sekolah ke rumah mereka di Kampung Penad Pos Simpor, yang sejauh beberapa batu, tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Ia mengambil sehari penuh untuk sampai ke kampung pedalaman dari Pos Tohoi dengan berjalan kaki, lebih 60km dari bandar paling hampir, Gua Musang.

Bapa Linda, Rosli Alek berkongsi kebimbangan Midah, mengatakan “sesuatu yang buruk ” berlaku menyebabkan anak perempuannya lari dari sekolah kerana tidak pernah melakukannya sebelum ini.

“Saya hanya membenarkan dia pergi ke sekolah pada Januari. Dia tidak pernah lari sebelum ini. Ini adalah kali pertama. Saya amat sedih kerana dia hilang hanya beberapa bulan selepas mula bersekolah,” katanya.

“Saya tidak mampu menangis lagi. Harapan saya semakin pudar dengan cepat. Kadang-kadang, saya rasa ada harapan kerana galakan yang saya terima daripada orang-orang di sekeliling saya. Tetapi pada masa yang lain, ia hanya kesedihan dan kekecewaan.”

Rosli, seperti Midah, percaya anaknya diculik dan berkata mengetahui mengenai pengedar organ daripada orang lain.

“Selama ini, kami mengesyaki ia melibatkan penculikan. Tetapi pihak berkuasa memberitahu, menculik 7 kanak-kanak adalah mustahil. Paling tidak, hanya 3 sahaja yang mungkin boleh diculik.

“Tetapi kita sebagai ibu bapa, berpandangan sebaliknya. Tetapi memandangkan mereka pihak berkuasa, kita hanya berdiam diri,” katanya sambil menambah banyak lori dan trak keluar masuk di kawasan tersebut sejak baru-baru ini.

Ketua Pemuda Rangkaian Kampung Orang Asli Kelantan Dendi Johari menyuarakan sentimen ibu bapa, walaupun berkata tiada kanak-kanak lain pernah hilang dari kawasan itu sebelum ini.

“Tidak, tidak ada yang hilang sebelum ini. Tetapi kita mendengar cerita mengenai pengedar organ dan takut anak-anak kita mungkin diambil mereka,” katanya ketika ditemui di Pos Tohoi.

Beliau juga berkata, beberapa bomoh datang untuk membantu mengesan kanak-kanak hilang tetapi tidak berjaya, mengesahkan syak wasangka yang mereka dibawa lari.

“Orang Asli percaya kepada roh-roh, tetapi kita juga percaya bomoh itu boleh menjejak lokasi mereka jika mereka diambil kuasa-kuasa ini,” katanya.

Seorang lagi ibu bapa tertekan Ayel Ajeb, 48, berikrar tidak akan berputus asa mencari anaknya Ika, anak ke-8 daripada 10 adik-beradik.

“Saya berada di Kuala Lumpur apabila mendapat berita anak perempuan saya hilang. Saya tidak dapat segera kembali kerana tidak ada tiket bas pada malam itu.

“Saya pulang 2 hari selepas Ika dilaporkan hilang dan saya dan yang lain, nenek, bapa saudara, saudara-mara, tidur di hutan pada malam itu dengan harapan dapat mencari mereka,” katanya.

Dendi Johari mengatakan kejadian kanak-kanak hilang tidak pernah berlaku dalam kawasan itu sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 3 Oktober, 2015.

Dendi Johari mengatakan kejadian kanak-kanak hilang tidak pernah berlaku dalam kawasan itu sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 3 Oktober, 2015.

Ayel tidak dapat memastikan apa berlaku kepada anak perempuannya, tetapi menambah penculikan adalah salah satu teori yang terus bermain di kepalanya.

“Saya tidak tahu apa yang perlu difikir lagi. Tetapi saya tidak akan kembali ke kampung (Kampung Penad Pos Simpor) sehingga saya mendapat khabar,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata semasa lawatan ke Pos Tohoi awal minggu ini, 8 agensi kerajaan dan negeri yang melibatkan lebih 200 orang sedang mencari kanak-kanak berkenaan.

Zahid, yang juga menteri dalam negeri berkata, operasi di hutan diperluaskan daripada 80km kepada 140km radius.

Ini termasuklah anggota polis, tentera, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) menggunakan 2 helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan 2 anjing pengesan untuk mencari kanak-kanak tersebut.

Baru-baru ini, 120 ahli daripada Rejimen Sempadan ke-4 (RS) di Grik, Perak, mengambil alih operasi mencari dan menyelamat daripada 216 anggota daripada 1 RS, Tanah Merah, Kelantan.

Pusat operasi mencari dan menyelamat dipindahkan dari Pos Tohoi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang minggu ini, tetapi polis berkata usaha ini akan diteruskan. – 3 Oktober, 2015.

 

Pautan Artikel Berkenaan & Versi Bahasa Inggeris