Mahkamah tolak permohonan KDN hentikan penerbitan Edge

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2015/10/13/mahkamah-tolak-permohonan-kdn-hentikan-penerbitan-edge/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Permohonan Kementerian Dalam Negeri menghalang The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily daripada diterbitkan semula sehingga kes rayuannya selesai ditolak Mahkamah Tinggi, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Oktober, 2015.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menghalang The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily daripada diterbitkan semula, sehingga kes rayuannya selesai.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching berkata Hakim Datuk Asmabi Mohamad juga berkata tidak ada keadaan khas untuk membenarkan penangguhan.

“Hakim berkata penerbit tidak boleh dilucutkan daripada hasil kejayaan litigasi mereka,” katanya kepada wartawan di luar mahkamah, hari ini.

Loke berkata hakim juga berpendapat tidak ada keburukan yang akan berlaku jika penerbitan kedua-dua akhbar itu disambung semula.

Asmabi menyampaikan keputusannya itu di dalam kamar, kata Loke.

Hakim juga memerintahkan kos RM4,000 kepada penerbit, The Edge Communications Sdn Bhd.

Loke berkata, kementerian itu boleh meneruskan rayuannya di Mahkamah Rayuan walaupun penggantungan 3 bulan akhbar itu tamat pada 26 Oktober.

“Rayuan itu tidak akademik. Jika Mahkamah Rayuan menukar keputusan Mahkamah Tinggi sekalipun, kita tidak perlu bayar ganti rugi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan berkenaan.

Peguam Darryl Goon dan Raja Eileen Soraya Raja Aman mewakili penerbit itu.

Pada 21 September, Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan menteri dalam negeri menggantung permit penerbitan akhbar mingguan The Edge dan harian The Edge Financial Daily selama 3 bulan yang berakhir pada 26 Oktober.

Asmabi ketika membenarkan permohonan semakan kehakiman berkata, responden (menteri) melanggar Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Responden tidak mematuhi keadilan mengikut prosedur kerana beliau tidak memberi butiran penggantungan kepada pemohon,” katanya.

Hakim itu berkata, menteri mengambil pertimbangan yang tidak relevan untuk mengenakan larangan menyeluruh selama 3 bulan itu.

KDN menggantung permit penerbitan akhbar mingguan dan harian itu selama 3 bulan mulai 27 Julai.– 13 Oktober, 2015.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris