Kematian dalam tahanan terbaru bukti polis tak mampu awasi diri sendiri, kata Badan Peguam

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2015/11/07/kematian-dalam-tahanan-terbaru-bukti-polis-tak-mampu-awasi-diri-sendiri-kata-badan-peguam/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Presiden Badan Peguam Malaysia Steven Thiru berkata, kematian Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur, 25, di Balai Polis Sungai Rengit di Johor pada 3 November, 2014 menunjukkan polis tidak dapat mengawasi diri mereka sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 November, 2015.

Keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis hanya boleh dikembalikan semula jika tindakan segera diambil bagi memastikan dalang di sebalik kes kematian dalam tahanan dibawa ke muka pengadilan, kata Badan Peguam Malaysia, hari ini.

Presidennya Steven Thiru berkata, kematian Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur, 25, di Balai Polis Sungai Rengit di Johor pada 3 November, 2014 menunjukkan polis tidak dapat mengawasi diri mereka sendiri.

“Keyakinan awam hanya boleh dikembalikan semula, dan keadilan dilihat dilaksanakan, jika tindakan segera diambil bagi memastikan pelakunya dibawa ke muka pengadilan dan didakwa sehingga ke tahap undang-undang sepenuhnya,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami juga menyeru kepada semua pihak berkuasa kerajaan untuk mengukuhkan lagi prosedur operasi standard dalam setiap keadaan tahanan, bagi memastikan keselamatan dan kebajikan tahanan. Setiap kematian dalam tahanan tidak boleh dimaafkan,” kata Thiru.

Pada 30 Oktober lalu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Datuk Yaacob Md Sam mengatakan hasil siasatan pihaknya mendapati, kematian Syed Azlan disahkan mempunyai kaitan kekerasan secara fizikal semasa ditahan dan disoal siasat polis.

Susulan itu, Rabu lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan pegawai yang mengakibatkan kematian tahanan itu akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Kami memberi jaminan kepada orang ramai mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan kerana kami tidak melindungi mana-mana anggota pasukan polis yang bertanggungjawab ke atas pertuduhan jenayah,” katanya.

Laporan EAIC itu mengatakan, kematian Syed Azlan adalah disebabkan trauma hentakan tumpul di dada.

Pemeriksaan mendapati si mati mengalami 61 jenis kecederaan di bahagian muka, badan dan kedua-dua kaki di mana sebahagiannya konsisten dengan kecederaan semasa berusaha mempertahankan diri daripada kekerasan fizikal yang dilakukan ke atasnya oleh anggota-anggota polis.

Laporan itu juga mendapati wujud gangguan bahan bukti dilakukan polis iaitu membersihkan tempat kejadian sebelum dilawati dan diperiksa oleh pegawai perubatan; melupuskan tikar getah dan karpet yang dipercayai mempunyai kesan darah si mati di tempat kejadian tangkapan, dan perlakuan menyembunyikan/menghilangkan saksi yang melihat kejadian tangkapan si mati.

“Sesuatu yang mengejutkan apabila dalam keadaan sekarang, masih terdapat kes orang mati dalam keadaan yang sangat mencurigakan itu semasa di bawah jagaan polis,” kata Thiru hari ini.

“Laporan EAIC itu ialah pendakwaan teruk terhadap pengurusan dan perlindungan orang tahanan. Ia menjurus kepada masalah yang berakar umbi dan sistem dalam pasukan polis yang bertentangan dengan resolusi.”

Beliau berkata, beliau khuatir pengumuman Khalid boleh menjadi kata-kata basi semata-mata, kerana kes kematian dalam tahanan terus tidak dihukum walaupun satu jawatankuasa khas diketuai ketua polis negara ditubuhkan bagi mengelakkan kematian dalam lokap polis.

“Kematian dalam tahanan, terutamanya yang wujud unsur jenayah atau dalam keadaan yang meragukan, adalah antara jenayah yang paling kejam dapat dibayangkan dalam masyarakat yang bertamadun dan mempunyai kedaulatan undang-undang.

“Keadaan semasa membawa kepada kemarahan orang ramai dan menghakis kepercayaan kepada pihak polis.”

Beliau berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pernah mencadangkan kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di semua sel induk di lokap polis dan prosedur operasi standard soal siasat polis dikaji semula.

Thiru berkata, Zahid kemudiannya mengumumkan pada Mei 2014 yang CCTV akan dipasang di semua lokap polis, kerana pada ketika itu hanya satu lokap polis yang mempunyai CCTV.

“Badan Peguam menggesa ketua polis negara dan menteri memberikan penerangan komprehensif mengenai langkah-langkah yang diambil dalam tempoh masa 17 bulan yang lalu.

“Pihak itu juga harus bertanggungjawab kerana gagal mengambil langkah bagi membanteras kejadian kematian dalam tahanan,” katanya.

Badan Peguam Malaysia menggesa ketua polis negara mengambil tindakan konkrit dan segera, kerana ia melibatkan perkara yang sangat berkepentingan umum yang perlu diberi keutamaan tertinggi. – 7 November, 2015.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris