G25 gesa kerajaan kaji semula undang-undang Syariah ceroboh kehidupan perbadi

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2015/12/06/g25-gesa-kerajaan-kaji-semula-undang-undang-syariah-ceroboh-kehidupan-perbadi/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Jurucakap G25 Datuk Noor Farida Ariffin berkata, enakmen kesalahan jenayah syariah yang menceroboh ke dalam kehidupan peribadi rakyat harus dikaji semula. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 6 Disember, 2015.

Kumpulan pesara kerajaan Melayu G25 menggesa kajian semula dilakukan terhadap pelaksanaan undang-undang Islam, mengatakan ia menentang tindakan menjadikan dosa peribadi, seperti berkhalwat, satu jenayah.

Dalam usaha mewujudkan satu jawatankuasa konsultatif, kumpulan itu berkata, enakmen kesalahan jenayah syariah yang menceroboh ke dalam kehidupan peribadi rakyat harus dikaji semula.

“Wujud masalah dalam pelaksanaan enakmen kesalahan jenayah syariah… kita perlu melihat kepada perkara ini.

“Kita perlu ahli jawatankuasa konsultatif itu untuk melihat perkara ini, dan di mana mereka sebenarnya melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk mencadangkan dan mungkin memansuhkan, atau meminda, dan juga untuk melihat kepada undang-undang yang menceroboh ke dalam kehidupan peribadi rakyat seperti undang-undang khalwat,” kata jurucakapnya Datuk Noor Farida Ariffin.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar selepas berakhirnya forum 2 hari Islam dalam Demokrasi Berperlembagaan di Kuala Lumpur hari ini.

Hanya Malaysia mempunyai undang-undang mengenai khalwat dan ia bertentangan dengan ajaran Islam, katanya.

“Dalam Islam, Al-Quran kata anda tidak boleh menceroboh ruang peribadi seseorang. Oleh itu, kami katakan, ini bertentangan dengan Islam.”

Beliau berkata jawatankuasa konsultatif mengkaji isu-isu ini penting bagi mengelakkan ketidakadilan masa depan terhadap umat Islam dan bukan Islam.

“Di bawah perlembagaan, mereka tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam. Tetapi sekarang, mereka juga mengambil tindakan terhadap orang bukan Islam.

“Orang bukan Islam turut terlibat dengan keputusan mahkamah syariah dan undang-undang,” kata Farida.

“Islam adalah agama keadilan, belas kasihan dan kasih sayang. Tetapi cara Islam dilaksanakan di bawah undang-undang syariah ketika ini, yang diluluskan penggubal undang-undang negeri, ia bukan undang-undang Tuhan.

“Ia tafsiran manusia tentang hukum Tuhan. Ia menyebabkan banyak ketidakadilan bukan sahaja kepada orang Islam, tetapi orang bukan Islam juga,” katanya. – 6 Disember, 2015.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris