Akta MKN bukan untuk ahli politik, pengkritik kerajaan, kecuali mereka pengganas

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2015/12/07/akta-mkn-bukan-untuk-ahli-politik-pengkritik-kerajaan-kecuali-mereka-pengganas/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low yakin akta baharu Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diluluskan Dewan Rakyat 3 Disember lalu tidak akan diguna terhadap ahli politik atau individu yang mengkritik Kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, ia akan digunakan kepada sesiapa saja sekiranya terbukti mereka pengganas, termasuk ahli politik.

“Ia tidak akan digunakan terhadap ahli politik melainkan mereka pengganas. Tetapi, (untuk mengatakan) menggunakan akta ini untuk perbezaan pendapat, saya secara peribadi tidak merasakannya.

“Untuk menjalankan kuasanya, kerajaan perlu mendapatkan kepercayaan rakyat, tetapi akta ini tidak akan digunakan untuk tujuan sedemikian.

“Mereka (ahli politik) tidak perlulah risau,” kata menteri yang bertanggungjawab bagi tadbir urus, hak asasi manusia dan integriti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Low berkata, masyarakat perlu melihat akta tersebut dalam konteks isu keselamatan negara termasuk mengawal pencerobohan sempadan negara seperti di Lahad Datu, Sabah.

“Kita juga perlu faham isu penyelarasan antara agensi penguatkuasaan seperti polis, tentera, tentera laut, maritim,” katanya ketika ditemui selepas membuat ucapan pembukaan pada sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2015 di Kuala Lumpur.

“Kita bercakap tentang pemberontakan dan kita tidak bercakap mengenai lanun atau keganasan lain yang boleh ditangani,” katanya.

Meskipun begitu, beliau menafikan dakwaan kerajaan menyalahgunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma dan kemungkinan menggunakan kuasa di bawah MKN terhadap badan bukan kerajaan seperti Bersih.

Low juga enggan mendedahkan butiran sama ada semua menteri sebulat suara menyokong rang undang-undang tersebut semasa mesyuarat Kabinet. – 7 Disember, 2015.