Ibu Hindu harap kes rebut anak jadi yang terakhir di Malaysia

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2016/02/10/ibu-hindu-harap-kes-rebut-anak-jadi-yang-terakhir-di-malaysia/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

S Deepa bercakap kepada media selepas selesai perbicaraan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, hari ini. Dia akur keputusan mahkamah walaupun tidak berpuas hati kerana hanya berjaya memperoleh hak penjagaan seorang anak sahaja. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 10 Februari, 2016.

S Deepa, ibu Hindu yang merebut penjagaan anaknya selepas bekas suami menukar agama 2 anak kecil mereka kepada Islam mengharapkan kes sepertinya tidak berulang lagi di Malaysia.

Mengakui tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan kerana hanya memperoleh hak penjagaan anak perempuan manakala anak lelaki diserahkan kepada bekas suaminya, Izwan Abdullah, Deepa berkata beliau terpaksa akur dengan arahan tersebut.

“Saya harap Malaysia tukar sikap, jangan ada ibu tunggal seperti saya yang tidak ada jawapan, biar kes ini yang terakhir.

“Malaysia tolong berubah. Saya hadapi kesukaran, duit, masalah kerja, semua saya lalui tetapi jawapan sekarang, hanya anak perempuan ada pada saya, anak lelaki dipisahkan daripada saya. Memang tidak adil,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Terdahulu panel 5 hakim diketuai Tan Sri Raus Sharif, yang juga presiden Mahkamah Rayuan memutuskan Deepa dan bekas suaminya, Izwan memperoleh hak penjagaan anak di mana anak perempuan Nurul Nabila (11) diserah kepada ibu dan anak lelaki Nabil (8) kepada bapa.

Rauf berkata, dalam tempoh 2 bulan sekali Deepa dan Izwan dibenarkan berjumpa dengan kedua-dua anak mereka di rumah ibu Izwan, Siti Aishah Abdullah bermula 10 pagi hingga 3 petang.

Hakim juga memutuskan kedua-dua ibu bapa itu boleh berhubung dengan anak melalui telefon tanpa had.

Wanita itu yang kelihatan sugul ketika tiba di Mahkamah Persekutuan pagi tadi dan tidak dapat mengawal emosinya hingga air matanya mengalir.

“Saya tidak tahu nak buat apa, lama juga saya tidak berjumpa dengan anak lelaki saya. Kali terakhir saya menang di Mahkamah Sivil arahan kata sehari Nabil (Mithran) dengan saya.

“Keesokan hari Izwan datang menculik anak lelaki saya, memang tidak ada respons dari mahkamah sampai sekarang jadi memang tidak adil dan saya tidak puas hati,” katanya.

Pada 7 April, 2014 Mahkamah Tinggi Seremban memberikan hak penjagaan 2 anak pasangan itu kepada Deepa.

Keputusan itu mengatasi perintah Mahkamah Syariah pada April 2012 yang memberikan hak penjagaan kepada Izwan.

Tetapi, 2 hari kemudian, Izwan menculik Mithran dari rumah Deepa di Jelebu dan menjaganya sejak itu.

Deepa kemudian mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi pada 21 Mei, 2014 yang memerintahkan polis mencari Izwan dan Mithran.

Pada 17 Disember, 2014 Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan anak kepada Deepa. – 10 Februari, 2016.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris