Mahkamah Sivil forum tepat putuskan hak jagaan anak mualaf, kata Mahkamah Persekutuan

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2016/02/10/mahkamah-sivil-forum-tepat-putuskan-hak-jagaan-anak-mualaf-kata-mahkamah-persekutuan/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Plaintif S. Deepa tiba di Mahkamah Tinggi Putrajaya bagi kes hak penjagaan anak-anaknya, hari ini. Hakim memutuskan perkahwinan bukan Islam tidak dibubarkan apabila salah satu pihak memeluk Islam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin 10 Februari, 2016.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Mahkamah Sivil perlu menentukan hak penjagaan kanak-kanak yang memeluk agama Islam.

Panel 5 hakim diketuai Tan Sri Raus Sharif berkata, perkahwinan bukan Islam tidak dibubarkan apabila salah satu pihak memeluk Islam.

“Perceraian dan hak penjagaan anak bagi perkahwinan bukan Islam adalah bidang kuasa eksklusif mahkamah sivil,” katanya ketika menolak rayuan Izwan Abdullah.

Raus berkata, pasangan bukan Islam tidak boleh menyalahgunakan faktor memeluk agama Islam bagi melarikan diri obligasinya.

Panel hakim itu bagaimanapun, memutuskan dalam kes ini, S. Deepa akan terus mempunyai hak penjagaan ke atas anak perempuannya Sharmila manakala, Izwan terhadap Mithran.

“Kedua-duanya sudah selesa dengan ibu bapa mereka.

“Ibu bapa boleh mempunyai akses kepada anak-anak mereka” kata Raus selepas hakim yang sebelum itu menemui kanak-kanak berkenaan di dalam kamar.

Raus berkata, Izwan menyalahgunakan proses Mahkamah Syariah sedangkan ia tidak mempunyai bidang kuasa ke atas Deepa, seorang bukan Islam.

“Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa dalam perkahwinan dan perceraian apabila kedua-dua pihak adalah Islam,” katanya.

Raus berkata, mahkamah agama dan sivil perlu diingatkan yang mereka tidak sepatutnya melangkaui peranan masing-masing.

“Kedua-duanya perlu melihat kepada undang-undang yang dibuat Parlimen dan badan perundangan negeri dan mesti mematuhi Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Raus berkata, Mahkamah Tinggi Seremban tidak sepatutnya mengeluarkan perintah mendapatkan kembali hak penjagaan di bawah Akta Kanak-kanak kerana hak penjagaan daripada Mahkamah Syariah juga diiktiraf di bawah undang-undang sivil.

Panel hakim itu kemudian mengetepikan perintah mendapatkan kembali hak penjagaan yang diputuskan Mahkamah Tinggi dan membatalkan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah.

Ia kemudian mengubah perintah hak penjagaan Mahkamah Tinggi yang mana kedua-dua kanak-kanak sepatutnya berada di bawah jagaan Deepa.

Raus berkata perintah perubahan itu dilakukan kerana kanak-kanak berkenaan berada keadaan baik dalam persekitaran masa kini.

“Kita berpandukan dengan kepentingan terbaik bagi kanak-kanak seperti dinyatakan di bawah Seksyen 88 (1) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976,” katanya.

Kedua-dua ibu bapa boleh melawat anak-anak mereka di rumah ibu Deepa, Siti Aisiah Abdullah di Jelebu sekali dalam masa 2 bulan dari 10 pagi hingga 3 petang.

Di samping itu, ibu bapa dan kanak-kanak boleh berkomunikasi melalui telefon tanpa sekatan.

Pada 7 April, 2014, Mahkamah Tinggi Seremban memberikan hak penjagaan kepada Deepa terhadap 2 anak pasangan itu.

Keputusan itu mengatasi perintah perintah Mahkamah Syariah pada April 2012 memberikan hak penjagaan kepada Izwan.

Bagaimanapun, Izwan menculik Mithran 2 hari selepas perintah Mahkamah Tinggi, menyebabkan Deepa membuat laporan polis.

Deepa kemudian mendapat perintah pada 21 Mei 2014 daripada Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan ketua polis negara mencari dan mengembalikan Mithran kepadanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tidak dapat mematuhi perintah itu kerana terdapat 2 perintah jagaan yang bercanggah. – 10 Februari, 2016.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris & Artikel Berkenaan