Undang-undang apa yang diguna untuk sekat ke luar negara, tanya peguam

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2016/05/21/undang-undang-apa-yang-diguna-untuk-sekat-ke-luar-negara-tanya-peguam/
SHARE

Sumber: Malaysiakini

Pic taken from The Star Online

Pic taken from The Star Online

Undang-undang khusus yang mana satu yang digunakan oleh kerajaan untuk menghalang rakyat daripada meninggalkan negara ini?

Ini adalah persoalan asas yang masih belum dijawab, kata peguam Syahredzan Johan.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed semalam bahawa halangan perjalanan tidak akan dikenakan ke atas pengkritik kerajaan, tetapi hanya terhadap mereka yang didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu catatan di Facebook hari ini, Syahredzan ‘penjelasan’ itu masih tidak menjawab persoalan asas – di bawah undang-undang mana yang mereka menghalang rakyat ke luar negara?

Seperti yang dinyatakan oleh ramai pihak, termasuk Presiden Majlis Peguam Steven Thiru, hak untuk ke luar negara adalah hak perlembagaan yang dijamin di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Ini, katanya, adalah tafsiran undang-undang oleh mahkamah tertinggi dalam kes Lee Kwan Woh lwn PP.

Menurunya, hujah bahawa pengeluaran pasport adalah ‘hak istimewa’, dan bukan satu hak, merupakan satu tafsiran usang berdasarkan duluan – khususnya kes kerajaan Malaysia lwn Loh Wai Kong – yang telah diputuskan sebagai ‘tidak bernilai sebagai duluan’ dalam kes Lee Kwan Woh v PP itu.

Oleh itu, kata Syahredzan, dalam usaha untuk menghalang hak fundamental ini, ia mesti sekurang-kurangnya menurut suatu undang-undang khusus.

Tidak ada undang-undang yang membolehkan ketua pengarah Imigresen untuk menghalang perjalanan seseorang warganegara dengan pasport yang sah, katanya, walaupun pada asas mereka telah melakukan kesalahan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, katanya, menghalang seseorang daripada ke luar negara apabila ia tidak terbukti di mahkamah bahawa mereka telah melakukan suatu kesalahan melanggar Perlembagaan Persekutuan, adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip keadilan asasi.

Kerajaan akan pada dasarnya menghukum seseorang sebelum orang itu mempunyai peluang untuk mempertahankan dirinya di mahkamah, katanya.

The Star pada hari Rabu melaporkan Jabatan Imigresen telah membuat satu peraturan dalaman untuk menghalang mereka yang mengkritik kerajaan daripada ke luar negara.

Semalam, Nur Jazlan menjelaskan larangan perjalanan itu hanyalah dikenakan terhadap mereka yang telah didakwa melanggar perlembagaan persekutuan.

Beliau dipetik sebagai berkata, ia termasuklah mereka yang menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara atau telah melakukan perbuatan yang melanggar Perlembagaan Persekutuan – ini adalah asas undang-undang yang akan membuat mereka dihalang ke luar negara.

 

Pautan Artikel dalam Bahasa Inggeris: What laws being applied in travel bans, asks lawyer [21 May 2016]