SPR didakwa pindah 5,590 pengundi ‘senyap-senyap’ ke Kuala Kubu Baru

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2016/07/20/spr-didakwa-pindah-5590-pengundi-senyap-senyap-ke-kuala-kubu-baru/
SHARE

Sumber: Roketkini

persempadanana pilihanraya

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Seramai 5,590 pengundi dipercayai telah dipindahkan melalui taktik persempadanan semula secara haram ke kawasan pengundian baru tanpa pengetahuan mereka.

Pemindahan pengundi secara haram itu dikenalpasti berlaku dalam Parlimen P094 Hulu Selangor melibatkan dua buah Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Kuala Kubu Baru dan DUN Batang Kali.

Dalam sidang media di ibu pejabat DAP pagi ini, Pengarah Pilihanraya Dr. Ong Kian Ming, berkata SPR tidak berhak menjalankan persempadanan semula secara tidak sah tanpa melalui prosedur yang menepati peruntukan undang-undang.

“Merujuk kepada Perkara 113 (2) Perlembagaan Persekutuan, jika SPR mahu mengubah semula sempadan kawasan pilihanraya bagi mana-mana kerusi melalui persempadanan semula, ia perlu mematuhi prosedur dan peruntukan yang terkandung dalam Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Prosedur itu antara lain termasuklah memaklumkannya kepada Speaker Dewan dan Perdana Menteri selain menerbitkan pemberitahuan berkenaan persempadanan itu dalam Warta dan di dalam akhbar.

Ahli Parlimen Serdang itu menjelaskan, walaupun SPR mempunyai hak untuk mewujudkan daerah pengundian baharu dan memindahkan pengundi ke daerah pengundian lain, badan itu tidak mempunyai sebarang kuasa dan hak untuk memindahkan pengundi ke suatu kawasan yang lain sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Dalam persempadanan semula yang berlaku dalam Parlimen Hulu Selangor itu, seramai 5,590 pengundi dipindahkan ke DUN Kuala Kubu Baru dari DUN Batang Kali secara manakala wujud penukaran seramai 56 pengundi dari DUN Kuala Kubu Baru ke DUN Batang Kali.

“Kami mempunyai sebab yang kukuh untuk percaya bahawa apa yang berlaku ialah persempadanan semula secara senyap-senyap,” kata Kian Ming.

Maklumat ini jelas beliau diperolehi melalui dokumen setebal 486 mukasurat Warta Kerajaan Persekutuan, Notis Bagi Daerah Mengundi dan Pusat Mengundi Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri, Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu yang dikeluarkan pada 26 April 2016.

“Ini merupakan satu contoh jelas persempadanan semula yang dijalankan oleh SPR bagi kerusi negeri Kuala Kubu Baru di bawah parlimen Hulu Selangor.

“Kita mengesyaki ini merupakan strategi yang digunakan Barisan Nasional untuk menawan semula Selangor dan saya mendesak SPR untuk membatalkan semula persempadanan haram ini,” katanya.

Menurut Adun Kuala Kubu Baru Lee Kee Hiong yang turut hadir dalam sidang media terbabit, persempadanan dan pemindahan pengundi tersebut turut melibatkan pemindahan kawasan pengundian Adun Batang Kali Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

“Saya rasa beliau pun tidak tahu dipindahkan. Nanti saya akan jumpa beliau dan minta beliau undi saya,” kata Kee Hiong. – Roketkini.com