Sebak baca puisi lama, Kassim Ahmad ajak rakyat ‘derhaka’

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2016/08/08/sebak-baca-puisi-lama-kassim-ahmad-ajak-rakyat-derhaka/
SHARE

Sumber: The Malay Mail Online

Dr Kassim Ahmad di mahkamah selepas hakim memutuskan tahanan yang dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ‘tidak sah’, 21 Disember 2015. — Foto oleh Saw Siow Feng

Dr Kassim Ahmad di mahkamah selepas hakim memutuskan tahanan yang dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ‘tidak sah’, 21 Disember 2015. — Foto oleh Saw Siow Feng

KUALA LUMPUR, 8 Ogos — “Kian lama kita mati dalam setia, kali ini kita hidup dalam derhaka!” dua baris terakhir sajak “Dialog” yang dibacakan penuh emosi oleh Kassim Ahmad.

Meskipun sedikit lemah kerana masalah kesihatan, tokoh intelektual dan sasterawan Melayu itu, kini berusia 83 tahun, agak beremosi ketika membacakan puisi itu, yang ditulis pada 1958.

Pemikir kontroversi yang sering dilabel “anti-hadis”, Kassim mengajak masyarakat terus lantang melawan kepincangan dan tadbir urus negara terutamanya mengenai masalah rasuah.

“Kita kena derhaka, memberontak terhadap kejahatan-kejahatan besar yang berlaku kepada kehidupan kita, di Malaysia dan di dunia.

“Kalau kita tidak bangun, siapa yang akan menyelamatkan kita?” soal Kassim, bekas pemimpin Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), yang kesal dengan senario politik dan ekonomi negara.

Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu mendeklamasikan puisi tersebut di depan hampir 50 hadirin di sini dalam diskusi puisi terkenalnya “Sidang Roh” semalam.

“Quran mengajar kita menyeru kepada kebaikan dan menentang kejahatan. Berapa ramai menentang kejahatan yang berlaku dalam negara kita, dengan isu seperti 1MDB dan korupsi?

“Jangan maut kita kerana bisu,” katanya lagi, memetik bait sajak kontroversinya itu dengan nada semangat, dengan memberi contoh kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Puisi-puisi Kassim termasuk “Sidang Roh” dan “Dialog” sering bergelut dalam persoalan politik, keadilan sosial, nasib masyarakat akar umbi dan persoalan agama.

Bait-bait akhir puisi “Sidang Roh” — “nanti akan padamlah dengan sendiri, lampu dari menara tinggi, karena di bawahnya orang kian mabuk, dan Tuhan sudah mati” — dianggap anti-agama.

Dalam temu bicara “Sidang Roh: Sepetang bersama Kassim Ahmad” yang diadakan di Solaris Dutamas di sini, beliau meluangkan masa dua jam mengupas salah tafsir masyarakat.

“Masyarakat kata saya kontroversi, saya tidak fikir saya kontroversi. Saya bercakap [melalui sajak] benda yang benar telah dihasilkan manusia,” katanya.

Jelasnya, setiap perkataan dalam sajak tersebut membawa makna dan perlambangan tersendiri.

“Seperti saya katakan, sajak ini pesimis. Dia melihat manusia dalam keadaan korup. Tuhan telah mati. Orang kian mabuk. Macam mana keadaan orang mabuk? Kita semua tahu.

“Sebab di dalam jiwa orang mabuk, dia memang tiada ingatan pada Tuhan. Itu sebab saya kata Tuhan telah mati,” kata Kassim.

Pengarang ini, yang mengangkat Hang Jebat sebagai perwira Melayu melalui tesisnya “Perwatakan dalam Hikayat Hang Tuah”, pernah mengajar di Universiti London.