Digantung semester, aktivis siswa saman UKM

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2016/12/18/digantung-semester-aktivis-siswa-saman-ukm/
SHARE

Sumber: FMT News

Asheeq Ali yang menyertai perhimpunan #TangkapMO1 berkata, hukuman dijatuhkan universiti bercanggah dengan Perlembagaan. Gambar dipetik dari FMT News.

Asheeq Ali yang menyertai perhimpunan #TangkapMO1 berkata, hukuman dijatuhkan universiti bercanggah dengan Perlembagaan. Gambar dipetik dari FMT News.

SHAH ALAM: Aktivis siswa, Asheeq Ali Sethi Alivi memfailkan saman terhadap Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ekoran tindakan menggantung pengajiannya selepas terlibat dalam perhimpunan #TangkapMO1 pada Ogos lalu.

Mahasiswa jurusan undang-undang tahun ke-3 UKM itu berkata, tindakan tersebut diambil kerana hukuman yang dijatuhkan terhadapnya tidak berasas dan bercanggah dengan Perlembagaan.

“Ia bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan panel perbicaraan UKM juga gagal membuktikan terdapat kes yang kukuh untuk mengambil tindakan.

“Saya mengambil tindakan guaman ini kerana proses rayuan dalaman UKM mengambil masa yang lama, sudah lebih sebulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, setiap warga bebas bersuara dan menyatakan pendapat, berhimpun secara aman dan berpersatuan, namun Parlimen boleh menyekatnya jika mendapati perlu untuk menjaga kepentingan dan keselamatan negara.

Pada 15 November, UKM menjatuhkan hukuman gantung satu semester dan denda RM200 kepada Asheeq selepas didapati bersalah menyertai perhimpunan yang diadakan di Dataran Merdeka, 27 Ogos lalu.

Menurut laporan FMT pada 16 November, Asheeq berkata asas hukuman tersebut adalah beliau memalukan universiti dan melakukan kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman (2012) kerana menyertai pehimpunan haram.

Beliau yang juga setiausaha agung Kesatuan Mahasiswa Malaysia (Kesatuan) memaklumkan turut menamakan 2 lagi defendan dalam samannya, iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi dan kerajaan Malaysia.

“Saya masih menunggu tarikh perbicaraan untuk ditetapkan mahkamah,” katanya lagi.

 

Artikel-artikel Berkenaan