Wujudkan ‘sistem khas’ urus Rohingya, kata Syed Hamid

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2016/12/26/wujudkan-sistem-khas-urus-rohingya-kata-syed-hamid/
SHARE

Sumber: FMT News

SELAYANG: Kerajaan perlu mewujudkan “sistem khas” untuk menguruskan peningkatan jumlah kaum Rohingya di Malaysia, kata Tan Sri Syed Hamid Albar, Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar.

Beliau berkata terdapat 50,000 Rohingya di Malaysia dan jumlah itu semakin meningkat dengan ramai di antara mereka mempunyai anak pada usia muda.

“Mereka berkahwin awal, mempunyai ramai anak. Kita tidak mahu anak-anak itu dieksploitasi mana-mana kumpulan jenayah bagi kepentingan mereka,” katanya selepas memberi bantuan makanan kepada kira-kira 200 Rohingya.

Acara ini diadakan di sebuah pusat pendidikan komuniti Rohingya di Selayang.

Beliau berkata, pendekatan baru diperlukan untuk menguruskan masyarakat Rohingya.

“Setakat ini saya gembira mendengar Kementerian Dalam Negeri memberi perhatian terhadap perkara itu. Saya berharap mereka mempunyai polisi untuk pelarian,” katanya.

Beliau berkata sistem pendaftaran akan memudahkan masyarakat Rohingya mendapatkan pekerjaan.

Bekas menteri luar berkata, kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian hanya menunjukkan mereka adalah pelarian.

Beliau berkata Malaysia membenarkan mereka datang ke negara ini atas terma kemanusiaan.

“Tetapi jika kita membenarkan mereka, kita perlu mengatur dengan betul.

“Supaya mereka boleh mendapatkan penjagaan kesihatan, pergi ke sekolah dan memperoleh hak sepatutnya,” katanya.

Mengenai hal kesihatan, beliau berkata kerajaan perlu mempunyai sistem supaya lebih mudah bagi mereka mendaftar di hospital kerajaan.

Bagi pendidikan, Syed Hamid berkata kebanyakan kanak-kanak diajar mengenai Islam dan mempelajari sukatan pelajaran Bangladesh.

“Oleh itu, kerajaan perlu terlibat,” katanya.