PIBG alu-alukan kanak-kanak tiada kerakyatan, tapi mahu pelarian dididik cara lain

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2017/01/10/pibg-alu-alukan-kanak-kanak-tiada-kerakyatan-tapi-mahu-pelarian-dididik-cara-lain/
SHARE

Sumber: FMT News

PETALING JAYA: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kebangsaan membantah idea membuka sekolah kebangsaan untuk kanak-kanak pelarian, dan berkata perbezaan budaya akan menimbulkan banyak masalah.

Bagaimanapun, ia mengalu-alukan pendaftaran kanak-kanak tanpa kerakyatan di sekolah kebangsaan. Definisi kanak-kanak tanpa kerakyatan sebagai salah seorang ibu bapanya rakyat Malaysia tetapi anak itu tidak memiliki dokumen kewarganegaraan.

Pengerusinya, Prof Madya Mohamad Ali Hassan mencadangkan supaya kerajaan menghantar guru mengajar kanak-kanak berkenaan di kem pelarian.

“Mereka datang daripada pelbagai budaya berbeza. Lebih baik jika kerajaan ambil guru terlatih untuk mengajar di penempatan pelarian,” katanya.

Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mempunyai sukatan baca-tulis-dan-mengira dan mencadangkan guru menggunakannya untuk kanak-kanak pelarian.

Katanya, pendidikan ialah salah satu cara mengelak kanak-kanak pelarian terjebak dengan jenayah geng.

Bagaimanapun, katanya kos menghantar guru ke kem pelarian agak tinggi.

“Kerajaan perlu cari cara yang praktikal untuk mendidik setiap kanak-kanak tanpa membabitkan kos tinggi,” katanya.

Terdapat 300,000 kanak-kanak pelarian di Malaysia dengan kebanyakannya dari Indonesia, Myanmar dan Filipina.

Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan kerajaan negerinya akan membenarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan mendaftar di sekolah awam di negeri itu.

Bagaimanapun, katnaya ibu bapa atau penjaga perlu berusaha mendapatkan dokumen untuk kanak-kanak itu dari Jabatan Pendaftaran Negara bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan dalam negara.

Kenyataan Ahmad itu dibuat susulan laporan mengenai nasib Tan Yao Chun, 7, yang tidak dibenarkan mendaftar di sekolah di Changlun kerana tidak mempunyai sijil kelahiran.

Tan lahir di Thailand tetapi bapanya rakyat Malaysia dan emaknya dari Myanmar.

Kementerian Pendidikan berkata kanak-kanak seperti itu dibenarkan mendaftar di sekolah kebangsaan.