‘Admin WhatsApp’ boleh dipenjara

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2017/04/27/admin-whatsapp-boleh-dipenjara/
SHARE

Source: BH Online

KUALA LUMPUR: Admin (pentadbir) kumpulan WhatsApp berdepan tindakan undang-undang sekiranya gagal membendung penyebaran maklumat palsu dalam kalangan ahli sehingga menggugat keselamatan negara.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata tindakan undang-undang sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dipertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap pentadbir terbabit.

Di bawah akta itu, pelbagai kesalahan boleh dikenakan tindakan seperti menyebarkan berita palsu, fitnah, menghasut, penipuan dan pendedahan komunikasi yang dilarang iaitu mendedahkan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).  

“Pentadbir boleh dipanggil untuk membantu siasatan sama ada tindakan diambil terhadap individu terbabit bergantung kepada fakta dan keterangan bagi setiap kes.

“Tidak kira maklumat palsu, tidak sahih atau bertujuan memfitnah, pentadbir bertanggungjawab terhadap ahlinya. Sekiranya terbukti individu (pentadbir) terbabit secara langsung atau membiarkan maklumat palsu itu disebar secara sengaja, dia akan dikenakan tindakan,” katanya kepada BH, semalam.

Jailani berkata, pentadbir kumpulan WhatsApp perlu lebih bertanggungjawab mengawal ahlinya supaya tidak menyebarkan maklumat palsu dan seharusnya menjadi gate keeper menapis berita tidak sahih sebelum berkongsi dalam kumpulan aplikasi berkenaan atau disebarkan di medium media sosial lain.