Bank Negara tiada kuasa bertindak ke atas 1MDB, kata Zeti

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2017/06/24/bank-negara-tiada-kuasa-bertindak-ke-atas-1mdb-kata-zeti/
SHARE

Sumber: FMT News

Bekas gabenor BNM, Zeti Akhtar Aziz berkata, siasatan kes 1MDB adalah tugas paling sukar ketika beliau mengetuai bank pusat itu. Gambar dipetik dari FMT News.

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) tiada kuasa mengambil tindakan lanjut, selain mendenda “badan dan institusi kewangan berkaitan” yang melanggar peraturan berkaitan kes 1MDB.

Pengakuan itu dibuat bekas gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang dipetik Sin Chew Daily sebagai berkata, mengendalikan kes 1MDB adalah tugas paling sukar ketika beliau mengetuai bank pusat itu.

“Walaupun pihak luar mempunyai jangkaan sangat tinggi terhadap Bank Negara, namun ia tiada kuasa untuk mendakwa.

“Bank Negara mempunyai undang-undang paling komprehensif, termasuk Akta Bank Negara Malaysia 2009 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 untuk melindungi integriti, kestabilan dan fungsi sistem kewangan sihat.

“Jadi, kami boleh keluarkan surat kompaun pentadbiran kepada badan dan institusi kewangan melanggar peraturan Bank Negara dalam kes 1MDB. Denda yang dikenakan itu mungkin yang tertinggi dalam sejarah,” katanya sambil menjelaskan keseluruhan perkara itu diselesaikan dengan bayaran denda.

Beliau berkata, objektif utama BNM dalam menangani kes 1MDB adalah memastikan integriti sistem kewangan negara.

Pada Mac 2016, BNM berkata, ia akan memulakan “langkah sewajarnya” terhadap kegagalan 1MDB mengemukakan bukti ia menggunakan AS$1.83 bilion untuk pengurusan dan penstrukturan semula hutang di luar negara. 1MDB pada mulanya menyatakan 2 sebab apabila ditanya kenapa wang yang dikirim ke luar negara itu tidak dikembalikan ke Malaysia.

BNM kemudian mendenda 1MDB pada 28 April 2016 dan memberi tempoh sehingga 30 Mei 2016 untuk membayar kompaun itu. 1MDB membayar denda itu pada 25 Mei dan gabenor BNM baru, Datuk Muhammad Ibrahim berkata, siasatan bank pusat ke atas 1MDB selesai.

Denda itu antara tindakan terakhir diambil Zeti sebelum beliau bersara pada 30 April 2016 dan digantikan timbalannya, Muhammad pada keesokannya.

Zeti juga enggan menyentuh ketidakupayaan kedudukannya dalam mengambil lebih banyak tindakan berhubung kes 1MDB.

Beliau mempertahankan peranannya dengan berkata, sebagai gabenor BNM, beliau tidak dibenarkan mempunyai pandangan peribadi berhubung isu itu kerana ia dapat mengalihkan tumpuannya.

“Tidak seperti orang lain, kami perlu belajar tumpu perhatian kerana hasil kerja kami adalah demi rakyat dan sektor perniagaan, bukan perasaan peribadi.

“Saya juga seorang manusia dan mempunyai perasaan, tetapi saya perlu mengetepikannya. Saya sedar akan tanggungjawab saya. Kami tahu Bank Negara sangat penting untuk negara ini. Kami tidak mahu lihat ia dimusnahkan dan itu salah satu pertimbangan saya,” katanya.

Sebelum siasatan ke atas 1MDB dan mendenda sayap pelaburan strategik kerajaan itu, BNM mengambil tindakan terhadap AmBank dengan denda RM53.7 juta kerana melanggar undang-undang anti pengubahan wang haram dan peraturan transaksi kewangan memerangi keganasan.

Akhbar Australia pada November 2015 melaporkan AmBank membayar denda itu selepas BNM mendapati ia melanggar undang-undang anti pengubahan wang haram dan peraturan transaksi kewangan memerangi keganasan berhubung “orang terdedah kepada politik”. Laporan itu menyatakan pelanggaran itu dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Zeti kemudiannya menyertai Iclif, sebuah organisasi ditubuhkan dan dibiayai BNM sejak 2003. Beliau ialah pengerusi organisasi itu yang merupakan pusat antarabangsa berpangkalan di Asia yang didedikasikan untuk pendidikan eksekutif, penyelidikan, latihan dan perkhidmatan perundingan dalam bidang pembangunan kepimpinan, Keberkesanan organisasi dan tadbir urus korporat.

 

>>Pautan artikel-artikel bertema “RCI on forex losses by BNM”