Pasukan Petugas Khas tiada niat jejas reputasi Bank Negara

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2017/06/24/pasukan-petugas-khas-tiada-niat-jejas-reputasi-bank-negara/
SHARE

Sumber: FMT News

Sidek Hassan yang mengetuai Pasukan Petugas Khas siasat kerugian forex pada 1980-an dan 1990-an mahu menutup isu itu. Gambar dipetik dari FMT News.

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas (STF) yang dibentuk untuk menyiasat kerugian tukaran asing pada 1980-an dan 1990-an tidak berniat menjejaskan reputasi Bank Negara Malaysia, sebaliknya ia mahu menutup terus isu berkenaan.

“Saya perlu katakan BNM merupakan institusi yang bukan sahaja dihormati di Malaysia, bahkan di peringkat antarabangsa, dan ini sangat positif untuk kita.

“Bukanlah niat pasukan petugas untuk menjejaskannya, malah kami berbangga dengannya (pencapaian Bank Negara Malaysia),” kata bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada temu bual bersama sekumpulan media semalam.

Beliau mengulas kenyataan bekas gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengenai isu itu baru-baru ini yang BNM mengambil langkah perlu dalam memastikan insiden 1980-an dan 1990-an tidak berulang.

Zeti mengambil alih jawatan gabenor Bank Pusat pada 2000. Pada 2009, Global Finance Magazine menamakannya antara ketua Bank Pusat terbaik di dunia. Zeti bersara tahun lepas.

Sidek berkata, STF terdiri daripada anggota masyarakat seperti Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

“Kami tidak akan melakukan apa-apa yang akan menjejaskan institusi penting seperti Bank Negara.”

Pada 26 Januari lalu, bekas penolong gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan BNM mengalami kerugian pasaran pertukaran wang asing sebanyak US$10 bilion pada awal 1990-an, jauh lebih tinggi daripada RM9 bilion seperti dinyatakan BNM.

Susulan itu, 7 ahli STF yang diketuai Sidek dibentuk pada Februari.

STF dalam penemuan awalnya mendapati kerugian sebenar lebih besar daripada dilaporkan kepada Kabinet dan Parlimen ketika itu.

Ia mendapati terdapat kes prima facie yang memberi merit untuk siasatan mendalam dijalankan dengan membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dipersetujui kerajaan.

Ditanya keperluan menyiasat sesuatu yang berlaku kira-kira 2 dekad lepas, Sidek berkata, walaupun ia sudah lama berlaku, kerugian sebenar baru diketahui.

“Saya kira rakyat perlu penjelasan tentang perkara itu dan kerajaan memutuskan supaya diadakan penyiasatan.”

Oleh itu, RCI adalah satu-satunya jalan untuk mengetahui sepenuhnya.

“Kalau tak buat sekarang, ia akan berlarutan. Pada masa depan…5…10 tahun lagi akan dibangkitkan lagi. Siasatan penuh (menerusi RCI) mungkin dapat menyelesaikannya kes ini,” katanya.

 

>>Pautan artikel-artikel bertema “RCI on forex losses by BNM”