Isteri harap polis maklum perkembangan kes Pastor Koh

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2017/06/26/isteri-harap-polis-maklum-perkembangan-kes-pastor-koh/
SHARE

Sumber: FMT News

Susanna Liew berkata, beliau hanya tahu mengenai penahanan 4 suspek dalam kes suaminya melalui laporan media. Gambar dipetik dari FMT News.

PETALING JAYA: Susanna Liew berharap polis akan menghubunginya untuk mengadakan pertemuan dan memaklumkan perkembangan terkini berhubung kehilangan suaminya, Pastor Raymond Koh lebih 4 bulan lalu.

Liew dalam kenyataan hari ini berkata, beliau hanya tahu mengenai penahanan 4 suspek dalam kes suaminya melalui laporan media.

“Seperti pengumuman sebelumnya yang dibuat IGP (ketua polis negara) kepada media mengenai penculikan suami saya pada 6 April dan 2 Mei, saya tidak dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan, petunjuk atau tangkapan polis.

“Seperti rakyat Malaysia lain, semua yang saya tahu adalah apa yang saya baca dalam media,” katanya yang berharap polis akan memberi penjelasan penuh berhubung pengumuman pada 6 April dan 24 Mei lalu.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, pihaknya kini mempunyai lebih banyak petunjuk berkaitan kehilangan Koh ekoran operasi berkaitan dadah pada awal minggu lalu.

Katanya, polis menyerbu rumah seorang suspek pengedar dadah dan menemui gambar dipercayai rumah dan kereta Koh, selepas suspek terbabit maut dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan polis di Kampung Weng Dalam, Kedah, pada 17 Jun lalu.

“Kami percaya kumpulan ini ada kaitan dengan penculikan Pastor Koh,” katanya sambil menambah 3 suspek lain dari kumpulan sama, berserta isteri suspek ditembak mati itu, yang ditahan di Kuantan, Kota Bharu dan Kuala Kangsar, dibawa ke Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

Khalid berkata, keluarga Koh belum dimaklumkan mengenai perkembangan itu kerana siasatan masih dijalankan.

Liew berkata, dalam pertemuan pada 6 dan 23 Mac lalu, tidak banyak perkembangan terkini diberikan polis, sebaliknya beliau diminta tidak bercakap dengan media dan tidak menghadiri sebarang perhimpunan atau acara menyala lilin.

Dalam pada itu, beliau berharap polis dapat memberi maklumat dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam siasatan mereka.

Suhakam pada 16 Jun lalu mengumumkan akan menyiasat kehilangan Koh dan 3 individu lain, iaitu Amri Che Mat, Pastor Joshua Hilmy dan isteri Ruth Hilmy yang hilang tahun lalu.

Pada 24 Mei lalu, Khalid dilaporkan berkata, seorang suspek dari utara Semenanjung ditahan berhubung kehilangan Koh.

Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya, pada 13 Februari lalu. Rakaman video menunjukkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan terlibat dalam kejadian pada waktu siang itu.

Susulan itu, keluarga Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang maklumat dan sehingga kini, tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi dengan penculik.