Cukai pelancongan ditangguh 1 Ogos, kata Nazri

Sumber: FMT News

PETALING JAYA: Cukai pelancongan yang dijadual dikuatkuasakan mulai 1 Julai ini akan ditangguhkan sehingga 1 Ogos memandangkan sistem terbabit belum siap sepenuhnya, kata Datuk Seri Nazri Aziz.

Menteri pelancongan dan kebudayaan yang dipetik Sin Chew Daily berkata, di bawah pelaksanaan dasar baru itu, semua pelancong asing akan dikenakan cukai pelancongan, tetapi warganegara Malaysia yang tinggal di hotel 3 bintang dan ke bawah tidak perlu membayar cukai pelancongan.

Katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan bertanggungjawab mengutip cukai baru itu.

“Kami rancang mula kutip cukai ini pada 1 Julai, tetapi sekarang ia belum siap lagi, jadi ia ditangguhkan sehingga 1 Ogos.

“Sudah tentu ini ialah sasaran kami, sama ada ia boleh dilaksanakan secara lancar bergantung kepada persiapan Jabatan Kastam,” katanya kepada akhbar itu. Read more

Selangor fail injunksi halang inkuiri SPR

Sumber: FMT News

Azmin Ali berkata, laporan SPR tidak berperlembagaan jika Selangor dikecualikan apabila SPR mengemukakan laporan persempadanan semula kepada perdana menteri untuk kelulusan Dewan Rakyat. Gambar dipetik dari FMT News.

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor yang diketuai PKR memfailkan permohonan injunksi untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan siasatan ke-2 ke atas persempadanan semula di Semenanjung sehingga kesnya diputuskan mahkamah.

Ia juga mahu mahkamah mengeluarkan perintah untuk menghalang SPR menyerahkan laporan persempadanan semula kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang di bawah Perlembagaan Persekutuan akan membentangkan keputusan itu di Dewan Rakyat untuk mendapatkan kelulusan.

Peguam, Latheefa Koya berkata, hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan akan mendengar permohonan itu pada 5 Julai ini.

“Selangor sebagai entiti Malaya tidak boleh dikecualikan apabila SPR mengemukakan laporannya kepada perdana menteri,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memfailkan 1 afidavit untuk menyokong permohonan yang dikemukakan pada 20 April lalu.

Timbalan presiden PKR itu berkata, tindakan SPR menerbitkan notis ke-2 untuk melakukan inkuiri ke-2 melanggar Perkara 113 (6) Perlembagaan yang menyatakan perlu ada semakan semula berasingan untuk negeri di Malaya, Sabah dan Sarawak. Read more