Ambil Tindakan Segera Untuk Mengelak Kematian Nahas Kebakaran Daripada Berulang — Bar Malaysia

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2017/09/18/ambil-tindakan-segera-untuk-mengelak-kematian-nahas-kebakaran-daripada-berulang-bar-malaysia/
SHARE

Kenyataan Media

Ambil Tindakan Segera Untuk Mengelak Kematian Nahas Kebakaran Daripada Berulang

Badan Peguam Malaysia (“Bar Malaysia”) ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa kebakaran yang membabitkan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur yang setakat ini telah meragut 23 nyawa. Bar Malaysia berharap agar ahli-ahli keluarga yang terlibat kekal tabah menghadapi dugaan ini.

Bar Malaysia memandang serius kejadian ini yang dianggap sebagai tragedi kebakaran negara paling buruk untuk tempoh hampir tiga dekad ini. Sesungguhnya, kejadian ini hanya mengingatkan semula rakyat Malaysia kepada tragedi kebakaran yang telah meragut 27 nyawa pelajar Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah di Guar Chempedak, Kedah pada tahun 1989.

Bar Malaysia menggesa dan mencadangkan agar tindakan-tindakan yang berikut diputuskan dan dilaksanakan oleh kerajaan dengan segera:

(1) Berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (“Royal Commission of Inquiry”) untuk mencari punca nahas kebakaran tersebut. Mengambil kira jumlah nyawa yang terkorban, Bar Malaysia mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja tersebut dijalankan dengan menyeluruh dan terbuka seperti siasatan awam tragedi platform runtuh Terminal Feri Pangkalan Sultan Abdul Halim, Pulau Pinang pada tahun 1988 yang telah meragut nyawa seramai 32 orang, dan kejadian kebakaran melibatkan kilang mercun Bright Sparklers Sdn Bhd di Selangor pada tahun 1991 yang telah mengorbankan 26 orang;

(2) Menyiasat pusat-pusat tahfiz dan pusat-pusat pembelajaran atau penjagaan berasrama di seluruh negara yang sedang beroperasi berkenaan pematuhan undang-undang dan garis piawaian keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 dan lain-lain peruntukan undang-undang yang berkaitan;

(3) Menyemak dengan segera pusat-pusat tahfiz dan pusat-pusat pembelajaran atau penjagaan berasrama di seluruh negara yang telah dibuka sama ada berlesen dan telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (“Certificate of Completion and Compliance”) seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; dan

(4) Mengetatkan dan mengkaji semula kriteria-kriteria permohonan untuk membuka sekolah aliran agama persendirian dan pusat-pusat pembelajaran atau penjagaan berasrama.

Bar Malaysia menyeru agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja supaya dapatan dan syor-syor daripada siasatan tersebut akan dapat membantu kerajaan dan pihak berkuasa mengenal pasti isu-isu pokok yang tidak terhad kepada punca nahas kebakaran semata-mata, tetapi merangkumi aspek-aspek pemantauan, keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dan pendaftaran sekolah aliran agama persendirian dan pusat-pusat pembelajaran atau penjagaan berasrama.

Siasatan ini juga perlu mempertimbangkan keperluan untuk mengkaji dan menyemak semula peruntukan undang-undang sedia ada berkenaan isu-isu di atas.

Bar Malaysia sentiasa terbuka dan bersedia untuk mengambil bahagian, menyalurkan kepakaran dan bantuan daripada segi pandangan undang-undang di dalam siasatan tersebut. Ahli-ahli keluarga mangsa-mangsa terlibat memerlukan jawapan di sebalik musibah ini, dan jikalau kita terus alpa, tragedi yang sama akan berulang lagi.

George Varughese
Yang Dipertua
Bar Malaysia

16 September 2017