Kenyataan Atas Siasatan Polis Tashny Sukumaran – HAKAM Youth

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2020/05/03/kenyataan-atas-siasatan-polis-tashny-sukumaran-hakam-youth/
SHARE

Pemuda HAKAM merakamkan solidariti untuk wartawan South China Morning Post (SCMP), Tashny Sukumaran yang kini sedang disiasat oleh pihak polis di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas menerbitkan suatu artikel pada 1 Mei 2020. Artikel tersebut adalah berkenaan serbuan yang dijalankan oleh pihak berkuasa ke atas warga migran dan pelarian secara besar-besaran semasa pandemik COVID-19.

Artikel Cik Tashny yang dikatakan “membangkitkan pecah keamanan” merupakan artikel yang penuh berfakta. Operasi serbuan yang dijalankan baru-baru ini telah mengundang pelbagai kritikan kerana tidak mematuhi langkah penjarakan sosial sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Beratus-ratus orang termasuk kanak-kanak telah ditahan dan dibawa ke pusat penahanan yang penuh sesak, maka potensi peningkatan risiko jangkitan virus dan pembentukan kluster baru menjadi tinggi. Ironinya, pihak berkuasa menerangkan bahawa operasi tersebut diperlukan untuk mengelakkan migran yang tidak berdokumen daripada bergerak ke kawasan lain supaya perebakan virus dapat dihentikan.

Yang lebih membimbangkan ialah tindak balas pihak berkuasa yang tidak setimbang dengan tindakan seorang wartawan yang berdedikasi dalam menjalankan tugasnya. Sebelum penerbitan artikel tersebut, pihak kerajaan telah diberi ruang yang secukupnya untuk membalas dan memberi komen mengenai operasi serbuan yang dijalankan pada masa yang kurang sesuai. Oleh itu, Pemuda HAKAM mengecam keputusan pihak berkuasa untuk
menyiasat Cik Tashny.

Siasatan ini bukan sahaja merupakan suatu tindakan yang menolak perbezaan pandangan, tetapi juga suatu ancaman terhadap hak kebebasan bersuara yang terkandung di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Ia juga menghalang segala usaha yang dilakukan selama ini untuk menambahbaikkan kebebasan media, di mana negara kita berjaya mencatatkan peningkatan sebanyak 22 mata dalam Indeks Tahunan Kebebasan Media Dunia pada tahun lalu.

Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia ini, kami ingin menekankan kepentingan kebebasan media dalam sesebuah masyarakat demokratik. Kewartawanan yang bebas daripada pengaruh mana-mana pihak dan tidak gentar dalam melaporkan kebenaran perlu sentiasa disanjung tinggi dan bukanlah disekat. Maka, Pemuda HAKAM ingin berpesan kepada kerajaan agar bertindak secara telus dan pihak berkuasa agar mempertimbangkan semula siasatan terhadap Cik Tashny.

Sekian,
Pemuda HAKAM
Sebuah jawatankuasa di bawah Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia

English Version