Pemuda HAKAM merakamkan solidariti untuk wartawan South China Morning Post (SCMP), Tashny Sukumaran yang kini sedang disiasat oleh pihak polis di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas menerbitkan suatu artikel pada 1 Mei 2020. Artikel tersebut adalah berkenaan serbuan yang dijalankan oleh pihak berkuasa ke atas warga migran dan pelarian secara besar-besaran semasa pandemik COVID-19.
Artikel Cik Tashny yang dikatakan “membangkitkan pecah keamanan” merupakan artikel yang penuh berfakta. Operasi serbuan yang dijalankan baru-baru ini telah mengundang pelbagai kritikan kerana tidak mematuhi langkah penjarakan sosial sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Beratus-ratus orang termasuk kanak-kanak telah ditahan dan dibawa ke pusat penahanan yang penuh sesak, maka potensi peningkatan risiko jangkitan virus dan pembentukan kluster baru menjadi tinggi. Ironinya, pihak berkuasa menerangkan bahawa operasi tersebut diperlukan untuk mengelakkan migran yang tidak berdokumen daripada bergerak ke kawasan lain supaya perebakan virus dapat dihentikan. Read more